
Bagi tuan kucing yang menjaga kucing bunting buat pertama kali, anda perlu tahu bahawa penjagaannya adalah berbeza daripada penjagaan kucing-kucing yang tidak mengandung. Jangan risau, artikel ini menyenaraikan perkara-perkara yang perlu anda tahu dan tip-tip penjagaan kucing bunting.
Tempoh Kucing Bunting
Perkara yang pertama sekali, anda perlu tahu tempoh kucing mengandung. Ini amat berbeza daripada tempoh manusia mengandung.
Kebiasaannya, tempoh kucing bunting adalah selama 9 minggu atau 63 ke 65 hari. Jadi, pastikan anda sudah menyediakan segala keperluan untuk kucing bersalin dan anak kucingnya 2 minggu sebelum ia bersalin.
Tanda-tanda Kucing Bunting
Tuan kucing yang tiada pengalaman dalam penjagaan kucing bunting lazimnya tidak akan peka akan tanda-tanda kucing mengandung. Kucing bunting biasanya akan mempunyai tanda-tanda seperti berikut:
- Selera makan kucing semakin besar
- Bahagian perut lebih besar dari biasa dan semakin membesar saban hari
- Puting di dada kucing menonjol dan kemerahan
- Lebih manja dari biasa
Cara Penjagaan Kucing Bunting
Dalam bahagian ini, kami akan menjelaskan cara-cara menjaga kucing bunting supaya anda boleh bersiap sedia dengan lebih awal. Berikut adalah pantang-larang penjagaan kucing bunting.
- Bawa kucing ke klinik haiwan
Jika kucing anda telah menunjukkan tanda-tanda mengandung, anda harus membawanya untuk pemeriksaan ke klinik haiwan . Melalui pemeriksaan yang teliti, doktor akan mengesahkan tempoh kehamilan atau jika terdapat sebarang komplikasi terhadap kandungan ibu kucing itu. - Tukar makanan kucing bunting
Semasa kucing mengandung, ia memerlukan makanan yang berkhasiat dan bernutrisi tinggi. Anda boleh menukar makanan ibu kucing tersebut dengan makanan anak kucing kerana makanan ini mengandungi nutrisi yang tinggi berbanding dengan makanan kucing dewasa. Lagipun, ibu kucing akan makan dengan lebih banyak dan makanan kucing yang lembut ini akan menyenangkan penghadaman untuk kucing bunting. - Sediakan bekalan air minuman
Sepanjang tempoh kucing membunting, ianya adalah amat penting untuk memastikan kucing mendapatkan bekalan air yang mencukupi. Semakin besar kandungan kucing tersebut, semakin susah untuk ia bergerak dengan aktif. Jadi, sediakan bekalan air di sekitar ruangan rumah untuk memudahkan ibu kucing meminum air. - Sediakan pasir kucing yang banyak
Seperti manusia, kucing yang mengandung akan kencing dengan kerap disebabkan tekanan pada pundi kencingnya. Untuk membantu kucing anda, sediakanlah lebih banyak ‘litter box’ di seberapa banyak tempat untuk kucing ini kencing. Ini akan menyenangkan kucing anda dan boleh mengelakkannya daripada kencing di merata-rata tempat di rumah. Harap-harap artikel ini dapat membantu anda menjaga kucing bunting dengan lebih baik. Sekiranya anda ingin belajar tip-tip untuk menjaga anak kucing, bolehlah anda membaca artikel ini.