Tahukah anda, kucing dapat bantu menguatkan kesihatan jantung kita? Mempunyai haiwan peliharaan di rumah dapat membantu kita mengurangkan stress dan tekanan perasaan. Ini telah dibuktikan dengan beberapa kajian yang telah dijalankan. Kebiasaannya, mempunyai kucing dirumah dapat mengurangkan rasa keseorangan juga. Ingin tahu jenis kucing yang sesuai untuk anda pelihara? Jom kita kenal dengan 10 jenis kucing yang terkenal dikalangan pencinta kucing di Malaysia.

Kucing Bengal
Jika anda adalah seorang peminat kucing eksotik, anda mungkin akan jatuh cinta pada kucing Bengali. Kucing ini adalah kacukan bersilang antara American Shorthair dan Asian Leopard. Antara fakta yang menarik tentang kucing ini ialah ia sukakan air dan perenang yang baik. Kucing ini adalah jenis yang sangat aktif dan suka memanjat ke tempat-tempat yang tinggi.

Kucing Siamese
Jenis kucing ini adalah sangat unik penampilannya dengan mata berwarna biru, tubuh yang ramping, ekor yang panjang dan mempunyai dua warna bulu iaitu warna perang gelap dan putih. Seperti namanya, kucing ini berasal dari negara Siam dan sangat terkenal di Malaysia. Kucing Siam ini sangat manja dan penyayang sifatnya, bahkan ia tidak boleh berjauhan dari tuannya kerana tidak suka dibiarkan bersendirian. Kucing ini antara yang paling sensitif dan mudah tersinggung. Ia juga terkenal dengan suaranya yang nyaring dan kuat.

Kucing Malaya
Kucing Malaya atau dikenali juga sebagai Kucing Asia sangat mirip dengan Kucing Burma. Kucing ini antara yang paling banyak dipelihara di Malaysia dan terkenal dengan sifatnya yang manja, aktif dan sangat curiga. Kucing malaya senang mesra dengan orang dan haiwan lain. Cara untuk menjaganya juga senang kerana ia jenis yang pandai menjaga diri ketika berada di luar rumah. Jika anda mencari kucing yang senang dijaga, bolehlah pelihara Kucing Malaya.

Kucing Sphinx
Sphinx adalah kucing yang paling unik kerana terkenal dengan fizikalnya yang tidak berbulu. Namun, jangan disangka kucing ini senang dijaga kerana ia tidak berbulu. Sebenarnya, kucing ini memerlukan penjagaan yang sangat rapi. Tuan kucing harus sapu losyen atau pelembap pada kulit kucing ini bagi mengelak dari kekeringan kulit. Walaupun begitu, kucing ini bertenaga, penyayang dan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi. Pembiak kucing Sphinx ini mengatakan ia juga amat agresif sifatnya.

Kucing Ash
American Shorthair (Ash) berasal dari Amerika dan mempunyai tarikan corak yang dikenali sebagai ‘silver tabby’. Jenis kucing ini tidak perlukan perhatian yang banyak kerana ia boleh bermain dengan sendiri. Kucing Ask mempunyai sifat yang tenang, peramah dan mudah bergaul. Bagi orang yang mempunyai rutin yang sibuk, kucing ini sangat sesuai untuk mereka kerana sifatnya yang suka menyendiri.

Kucing American Curl
Baka kucing ini terkenal dengan bulunya yang panjang dan sedikit keriting seperti rambut dan dijumpai pada tahun 81 abad yang lalu. Kucing ini juga mempunyai bentuk telinga yang unik dan lain dari kucing-kucing biasa. Seperti kucing lain, American Curl juga suka bermain dan ia perlukan ruang peribadi untuk bermain. Tetapi, kucing ini harus dijaga dengan baik dan dilayan dengan lembut kerana telinganya senang tercedera.

Kucing Burmese
Seperti nama bakanya, kucing ini berasal dari Burma dan dibiakkan di Amerika pada pertengahan abad ke-20. Baka ini adalah jenis ‘hybrid’ dan mempunyai beberapa warna bulu yang cantik seperti warna kemerah-merahan, perang dan sebagainya. Perwatakannya lincah dan sangat aktif serta mudah beradaptasi dengan persekitaran mereka. Baka ini juga hebat memanjat dan melompat. Kucing Burmese ini sangat mudah percaya dan mesra dengan manusia, jadi tiada masalah untuk tuan baru bermesra dengan kucing ini.

Kucing Korat
Berasal dari Thailand, Kucing Korat ini adalah salah satu baka yang tertua antara kucing yang lain. Di negara asalnya, ia dikenali sebagai Si Sawat dan pembawa tuah serta kucing suci. Mengikut adat di Thailand, sepasang Korat akan dihadiahkan kepada pengantin perempuan pada hari perkahwinannya. Kucing ini mempunyai mata yang besar berwarna hijau serta bulu berwarna biru kehijauan. Badannya agak padat dan mempunyai sifat yang lembut serta bijak. Kucing Koran ini suka mempunyai peneman dan akan mengikut tuannya ke mana sahaja.

Kucing Abyssinian
Kucing ini mempunyai badan yang anggun dan menyerupai seekor kucing liar iaitu Kugar. Bulunya juga cantik dilihat, jenis yang berwarna kemerah-merahan. Mempunyai keperibadian yang cerdas dan sifat ingin tahu, kucing ini sangat senang untuk dilatih. Baka ini tidak bising dan mereka amat penyayang dan lembut sifatnya. Tetapi mereka suka memanjat dan tidak suka dikurung.

Kucing Bulldog
Kucing ini dinamakan Bulldog disebabkan rupanya yang seiras dengan anjing bulldog. Kucing ini juga berasal dari Amerika. Walaupun namanya sebegitu, kucing ini sebenarnya manja dan lembut keperibadiannya. Ia juga senang bermain dan suka berada dekat dengan tuannya.
Setelah membaca tentang 10 jenis kucing ini, adakah anda sudah tahu baka yang manakah anda ingin untuk pelihara? Semoga anda menjumpai kucing yang sesuai dengan anda.